Rabu, 21 September 2016

PERTANIAN ADALAH PERNIAGAAN



PERTANIAN ADALAH PERNIAGAAN

Image result for GAMBAR PERNIAGAAN


PENGENALAN PERNIAGAAN


Definisi Perniagaan

Secara umumnya perniagaan telah wujud sejak dari zaman dahulu dan kekal sehingga kini. Perniagaan kebiasaannya berlaku di antara kelompok manusia dengan kelompok yang lain mahupun di antara seorang individu dengan individu yang lain. Sesuatu perniagaan akan berlaku apabila terdapatnya pengeluaran dari sebelah pihak yang dipanggil pembekal dan permintaan dari sebelah pihak yang dinamakan pembeli. Perniagaan hanya akan berlaku apabila terdapatnya permintaan dalam pasaran. Tanpa permintaan dari pembeli, sesebuah perniagaan itu tidak akan berjaya.

Perniagaan juga senantiasa menggalakkan manusia untuk berkecimpung dalam bidang tersebut supaya peluang perniagaan yang diberikan dapat dikembangkan seterusnya memberikan pulangan kepada mereka yang berani serta berupaya mengambil risiko terhadap pelaburan yang telah dipertaruhkan iaitu wang dan masa. Misi utama terhadap perniagaan adalah keuntungan yang bukan sahaja melibatkan sebelah pihak tetapi di antara kedua belah pihak terbabit.

Menurut pandangan Vincent A. Gabriel, (1995) m.s 5, melalui tulisannya berkata “perniagaan merupakan pengagihan dan pertukaran semua barangan berlebihan yang telah dihasilkan daripada ladang-ladang, lautan, hutan-hutan serta      kilang-kilang supaya mereka dapat diperoleh oleh pengguna terakhir pada tempat dan harga yang berpatutan”.

Selain itu, menurut takrifan Norhayah Zulkifli et.al (1999), m.s 2, “perniagaan boleh didefinisikan sebagai pertukaran barang atau perkhidmatan dengan wang atau alat pertukaran lain, bertujuan untuk mendapat keuntungan atau sebarang bentuk faedah”.
Takrifan seterusnya adalah dari Zumilah Zainalaludin (1999) m.s 3 yang menyatakan bahawa “perniagaan adalah pertukaran barangan atau perkhidmatan dengan wang untuk tujuan mendapatkan keuntungan atau sebarang bentuk faedah”.


Pertanian Adalah Perniagaan

Secara amnya, pertanian merupakan tunggak asas kepada kehidupan manusia baik dari segi sumber makanan, kewangan dan ekonomi. Penggunaan slogan ‘Pertanian Adalah Perniagaan’ merupakan sesuatu yang tepat dan mempunyai kebenaran yang tersirat.

‘Pertanian Adalah Perniagaan’ merupakan kata keramat yang sangat popular digunakan oleh pihak kerajaan dalam melaksanakan sesuatu usaha dalam sektor pertanian. Tujuannya adalah untuk mentransformasikan Malaysia daripada sebuah negara perindustrian kepada sebuah negara pertanian.

Walau bagaimanapun, pendekatan kerajaan terhadap sektor pertanian ini bukanlah bersikap ke belakang sebagaimana yang diperkatakan  sebelum ini. Akan tetapi, pihak kerajaan sentiasa berusaha untuk meningkatkan taraf hidup masyarakat seterusnya membantu mempertingkatkan hasil pendapatan negara melalui perniagaan berasaskan pertanian ini.

Pelbagai perubahan untuk ke arah kebaikan juga telah dilaksanakan seperti melakukan banyak perubahan dari pelbagai aspek seperti proses dan keperluan jentera. Usaha ke arah perubahan ini turut dibantu oleh agensi-agensi kerajaan yang berkaitan supaya dapat menghasilkan pelbagai variasi, klon serta baka tanaman baru dengan bantuan teknologi ICT yang terkini.


KEPENTINGAN BIDANG PERTANIAN


Di peringkat awal, pertanian dalam negara hanya berfungsi sekadar memenuhi keperluan asas rakyat tempatan. Namun begitu, pada masa kini, fungsi pertanian dalam negara telah berubah menjadi antara perniagaan yang memberi prospek besar kepada seluruh masyarakat di Malaysia. Perkara ini secara tidak langsung telah membantu negara dalam merapatkan jurang sosial ekonomi masyarakat  di samping menjadi penyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.
ng telah dijalankan pada tahun 2010, nilai pengeluaran kasar daripada Banci Ekonomi 2011 untuk sektor pertanian adalah sebanyak RM53,452.1 juta. Subsektor tanaman merupakan penyumbang utama pengeluaran dalam sektor pertanian iaitu sebanyak RM37,275.6 juta diikuti perhutanan dan pembalakan sebanyak RM8,111.0 juta, ternakan sebanyak RM6,591.5 juta seterusnya perikanan dengan jumlah sebanyak RM1,474.1 juta.

Selain itu, pertanian juga dilihat dapat mengurangkan kebergantungan terhadap pengimportan bahan makanan dari negara luar. Ini kerana, kebanyakan makanan asas atau ruji seperti beras, kopi, koko serta bijirin sesuai ditanam di dalam negara. Justeru itu, sekiranya keperluan dalaman masyarakat Malaysia adalah mencukupi, maka usaha untuk mengimport bahan makanan dari negara luar ke dalam negara bagi menampung keperluan negara adalah tidak perlu.

Pertanian juga dapat memberi keuntungan yang besar kepada pelabur dan pengusaha yang terlibat dalam bidang tersebut. Perkara ini boleh dilaksanakan dengan menitikberatkan aspek kuantiti dan kualiti yang dapat meningkatkan hasil jualan. Selain itu, ia juga dapat meningkatkan daya saing terhadap produk yang dihasilkan seperti proses tambah nilai dalam aspek pemprosesan, peggredan, pembungkusan serta pemasaran yang perlu diberi keutamaan.


Perniagaan berasaskan pertanian  secara tidak langsung dapat menggalakkan pengaliran wang masuk ke dalam negara melalui hasil pertanian yang di ekspot ke negara luar. Melalui kaedah ini telah membuka serta mewujudkan pelbagai peluang pekerjaan kepada golongan masyarakat dari pelbagai peringkat umur. Peluang yang diberikan ini, secara tidak langsung dapat mengurangkan masalah pengangguran di kalangan belia dan dewasa yang semakin meruncing dalam negara. Secara dasarnya, perniagaan ini dapat membantu melahirkan golongan usahawan muda yang berminat serta mula berjinak dalam perniagaan berasaskan pertanian ini.

Berdasarkan bancian yang telah dilakukan, adalah diangggarkan terdapat seramai 390,708 orang yang bekerja dalam sektor pertanian di sekitar  tahun 2010. Daripada bancian tersebut dapat disenaraikan beberapa kategori pekerja yang terdiri daripada pekerja bergaji iaitu seramai 384.769 orang dengan peratusan sebanyak 98.5%. Selain daripada itu, seramai 5,939 orang adalah terdiri daripada  pemilik yang bekerja, rakan niaga  yang aktif serta pekerja keluarga yang tidak bergaji dengan peratusan sebanyak 1.5% sahaja. Daripada jumlah tenaga kerja tersebut, seramai 318,583 orang dengan peratusan sebanyak 81.5% adalah pekerja lelaki dan seramai 66,186 orang adalah pekerja wanita dengan peratusan sebanyak 18.5%.

Selain itu, bidang perniagaan ini juga dilihat dapat membantu negara dalam memenuhi keperluan dan kehendak bahan makanan terhadap masyarakat dalam negara. Dengan cara ini perkara yang tidak diingini seperti krisis makanan dapat dielakkan serta dihindari dari berlaku dalam negara. Kepadatan penduduk Malaysia yang dijangka meningkat sehingga 30.50 juta pada tahun 2020 menjadikan perniagaan bersasakan pertaniaan ini antara perkara penting dalam pentadbiran negara bagi memenuhi kehendak serta menampung keperluan masyarakat dalam negara.


Pertanian juga dapat menarik minat pelancong dari dalam negara serta luar negara melalui konsep perniagaan Agro-pelancongan. Konsep Agro-pelancongan adalah satu ideologi kerajaan Malaysia dalam mempromosikan perniagaan berasakan pertanian ini. Konsep ini merupakan salah satu strategi untuk pembangunan pelancongan negara yang sedang berkembang pesat. Ini kerana, negara Malaysia yang sedia maklum mempunyai keindahan alam semulajadi yang cantik dan terkenal menjadikan perniagaan yang berasaskan pertanian dan pelancongan ini dapat dilaksanakan secara serentak dan saling berkaitan.


 POTENSI BIDANG PERTANIAN SEBAGAI PERNIAGAAN YANG MENGUNTUNGKAN


Awalannya, persepsi masyarakat terhadap perniagaan berasaskan pertanian ini adalah tidak berapa baik. Ini kerana, pada satu ketika, golongan tenaga kerja yang bekerja dalam sektor pertanian dianggap seorang yang kolot, kotor serta tiada masa depan. Perkara ini dipengaruhi oleh faktor persekitaran pekerjaan yang tidak memerlukan pakaian formal dalan menjalankan tugas. Disamping itu, keadaan suasana tempat pekerjaan yang terletak di ladang, kebun dan kawasan terpencil menjadikan segelintir masyarakat lebih berminat memilih pekerjaan di bandar dan menganggap sektor pekerjaan dalam bidang pertanian ini adalah ‘kerja kampung.’

Namun begitu, pada era masa kini, bidang pertanian telah menjadi salah satu di antara perniagaan negara yang terpenting. Perniagaan dalam bidang ini juga adalah penyumbang kepada asas pembentukan ekonomi ke arah pembangunan
negara. Dalam memastikan pembangunan perniagaan ini berjalan sebagaimana direncanakan ,pelbagai program pertanian yang diberi nafas baru serta berinovasi khusus dalam menambahkan produktiviti telah diperkenalkan.

Malaysia antara negara yang kaya dengan hasil bumi yang tidak dapat disangkal lagi. Selain daripada tumbuhan semulajadi yang menghijau, negara juga mempunyai pelbagai jenis tanah seperti tanah gambut dan letrit yang subur untuk pelbagai jenis tanaman. Kelebihan ini secara tidak langsung telah menarik minat pelabur dari luar negara untuk membuat pelaburan dalam perniagaan berasaskan pertanian ini. 

Selain itu, melalui sektor pertanian, potensi untuk melahirkan golongan usahawan muda adalah tinggi. Dengan memberikan peluang tersebut kepada golongan yang berminat tetapi tiada kemampuan, ia bukan sahaja menguntungkan sebelah pihak malahan membantu negara mempertingkatkan lagi pembangunan dalam sektor pertanian.

Perniagaan berasaskan pertanian mampu berkembang maju bukan sahaja dalam negara malahan di luar negara melalui transformasi yang telah dijalankan oleh agensi-agensi kerajaan yang telah ditubuhkan. Agensi-agensi ini bukan sahaja menjalankan penyelidikan terhadap produk yang dihasilkan tetapi juga menjadi nadi dalam penggerak kemajuan perniagaan berasaskan pertanian ini. Justeru itu, melalui transformasi yang telah direncana tersebut, perniagaan berasaskan pertanian ini mampu bertahan dalam pembangunan ekonomi mahupun dalam dan di luar negara.


        CABARAN / HALANGAN BIDANG PERNIAGAAN BERASASKAN PERTANIAN

Dalam melayari kehidupan yang penuh dengan arus pemodenan, kerajaan Malaysia tidak lepas dari mengalami dan melalui cabaran dan halangan untuk memastikan perniagaan berasaskan pertanian ini terus kukuh. Untuk memastikan perniagaan ini terus kukuh dalam menyumbangkan pendapatan negara, cabaran serta halangan tersebut telah menjadi nadi dalam memastikan rencana pembangunan perniagaan tersebut kekal di persada negara.
Perkara utama yang menjadi cabaran kerajaan dalam memastikan perniagaan ini terus berdaya maju adalah dengan mengubah pemikiran dan persepsi masyarakat terhadap bidang pertanian. Pemikiran cara sebegini yang menjadikan golongan muda pada masa kini memandang ringan akan pekerjaan dalam sektor perniagaan berasaskan pertanian ini. Persepsi sebegini berlaku apabila kepesatan pembangunan ekonomi Malaysia dalam pelbagai bidang perniagaan menjadikan sektor pertanian pada masa kini dipandang sepi oleh segelintir pihak.

Contoh paling utama yang dapat dilihat apabila kebanyakan golongan petani khususnya tidak lagi berminat menjalankan kerja-kerja tani yang lebih dikenali sebagai pekerjaan turun-temurun. Adalah lebih menyedihkan lagi apabila tiada generasi pelapis yang ingin meneruskan pekerjaan turun-temurun tersebut. Kebanyakan dari generasi pelapis ini menganggap bahawa pekerjaan dalam sektor pertanian adalah tidak sesuai dengan diri mereka yang lebih mementingkan penampilan dan status pekerjaan.

Implikasi dari perkara tersebut telah menyebabkan kekurangan tenaga kerja dalam bidang pekerjaan di sektor pertanian. Akibatnya, bagi mencari penyelesaian terhadap kekurangan tenaga kerja, pihak pelabur dan pengusaha pertanian di seluruh Malaysia telah mengambil inisiatif dengan membawa masuk pekerja asing dari Indonesia contohnya. Untuk jangka masa pendek idea ini merupakan penyelesaian terbaik namun untuk jangka masa panjang ia bakal mendatangkan bencana dan masalah kepada negara.

Selain itu, kekurangan ilmu pengetahuan juga menjadi cabaran dan halangan dalam membangunkan perniagaan berasaskan pertanian ini. Ini kerana, dengan kurangnya serta ketiadaan tenaga kerja yang berpengetahuan, cekap serta produktif akan menyebabkan perancangan sediada untuk pembangunan perniagaan dalam bidang ini terbantut. Implikasi daripada ketiadaan ilmu pengetahuan dalam bidang ini akan menyebabkan kemudahan untuk mendapatkan sesuatu kredit seperti pinjaman atau pelabur agak sukar diperolehi.

Namun begitu, kekurangan ilmu pengetahuan di kalangan individu yang terlibat dalam bidang ini bukanlah disebabkan tiadanya pendedahan mahupun latihan yang berkaitan dari pihak kerajaan. Ia berlaku disebabkan faktor persekitaran di mana rata-rata individu yang terlibat adalah di kalangan dewasa yang kebanyakannya telah uzur dan berusia. Situasi ini menyebabkan tahap penerimaan pembelajaran mahupun latihan yang disampaikan adalah terhad.

Disebabkan itu, kebanyakan daripada mereka tidak dapat menggunakan kebaikan serta kemudahan yang telah disediakan. Sebagai contoh, penggunaan baka benih atau klon yang berdaya untuk pengeluaran tinggi dan bermutu, penggunaan baja serta bahan kimia yang optimum serta proses membaik pulih tanah dengan cara yang betul tidak dapat dilaksanakan kerana tiadanya pengetahuan yang tepat dalam perkara tersebut. Oleh yang demikian, penglibatan golongan muda belia perlu diterapkan agar usaha yang telah dilaksanakan oleh kerajaan ini dapat digunakan dengan sebaiknya.

Justeru itu, tidak hairanlah jika dikatakan ilmu pengetahun adalah penting dalam kehidupan masyarakat pada era ini. Ini kerana kekurangan ilmu pengetahuan akan menjadi halangan dan cabaran dalam memastikan pembangunan perniagaan bukan sahaja dalam sektor pertanian malahan juga dalam         sektor-sektor lain yang berkaitan dengan pembangunan ekonomi negara.

Kekurangan modal juga merupakan salah satu cabaran dan halangan yang dihadapi oleh pengusaha dalam bidang pertanian ini terutamanya di kalangan golongan petani. Ini kerana, kepayahan dari mendapatkan pinjaman berbentuk modal akan menyebabkan mereka ketinggalan dalam arus pembangunan yang semakin berkembang. Kekurangan modal ini telah menyebabkan kebanyakan daripada mereka tidak dapat menyerap atau menggunakan teknologi moden yang sepatutnya dapat membantu mereka mengeluarkan atau menghasilkan produk dengan lebih bermutu, efisien serta produktif.



 SOKONGAN SERTA BANTUAN KERAJAAN KEPADA PERNIAGAAN BERASASKAN PERTANIAN


Dalam memastikan perniagaan berasaskan pertanian ini terus kekal sebagai penjana pendapatan negara, kerajaan Malaysia telah membuat pelbagai perancangan ke arah pembangunan tersebut. Antaranya, pihak kerajaan telah menubuhkan Jabatan Pertanian yang tertakluk di bawah Kementerian Pertanian Dan Industri Asas Tani, Malaysia.

Jabatan Pertanian telah ditubuhkan di sekitar tahun 1905 dan antara tugas utama pada masa tersebut adalah untuk melaksanakan dasar-dasar pertanian yang telah digariskan oleh kerajaan. Awalannya, tumpuan Jabatan pertanian adalah ke arah usaha penyelidikan tanaman, menyediakan pakar-pakar teknikal kepada pengusaha ladang serta perkhidmatan untuk pengembangan kepada pekebun-pekebun kecil.

Setelah negara mencapai kemerdekaan pada 1957, Jabatan Pertanian telah terlibat secara menyeluruh dan lebih kukuh dalam bidang penyelidikan, penyediaan perkhidmatan dan ke arah penubuhan pertubuhan-pertubuhan peladang seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan iaitu FAMA pada tahun 1965, Institut Penyelidikan Dan Pembangunan Pertanian iaitu MARDI pada tahun 1970 dan Lembaga Pertubuhan Peladang atau LPP pada tahun 1973.


Pada masa kini, peranan yang telah dimainkan oleh Jabatan Pertanian adalah :

  • Mempercepatkan transformasi pertanian kepada sektor yang lebih moden, dinamik dan komersial.
  • Membangunkan industri tanaman makanan serta bunga-bungaan.
  •  Memberi khidmat perundingan dan sokongan teknikal.
  • Melindungi industri pertanian negara.
  • Menjamin keselamatan makanan dan alam sekitar.
  • Bergiat dalam forum-forum, hubungan dua hala serta kerjasama teknikal antarabangsa.
  •  Mempertingkatkan pembangunan sumber manusia



Kerajaan Malaysia juga telah berusaha keras dalam memulihkan persepsi masyarakat terutamanya dari generasi muda terhadap sektor pertanian. Antara strategi atau sokongan yang telah dilaksanakan adalah dengan memberi dan menyenaraikan pelbagai intensif dan kemudahan bagi menggalakkan penyertaan golongan ini dalam bidang pertanian. Selain itu, pelbagai program pertanian yang bernafas baru serta berinovasi khusus untuk peningkatan produktiviti juga telah diperkenalkan.

Dalam memberi sokongan terhadap perniagaan ini, pada tahun 2013 melalui Bajet 2013, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM5.8 billion kepada Kementerian Pertanian Dan Industri Asas Tani dalam memastikan sektor ini terus mantap dalam negara. Sebanyak RM30 juta telah disediakan untuk pembangunan program pertanian yang merangkumi pelbagai aspek seperti aplikasi penggunaan teknologi tinggi, peningkatan pembekalan benih yang berkualiti, penstabilan harga melalui jualan terus dari ladang, pewujudan pasar rakyat serta penambahbaikan institusi latihan pertanian. Selain itu, kerajaan juga telah  memperuntukkan sebanyak RM75 juta bagi meningkatkan pengeluaran produk dalam bentuk makanan dan kesihatan.

Bagi mengurangkan kos pengeluaran di kalangan pengusaha seperti petani, pemberian subsidi dan insentif pertanian sedia ada berjumlah RM2.4 billion masih diteruskan oleh pihak kerajaan. Bantuan tersebut adalah termasuk dengan subsidi dan insentif yang merangkumi pelbagai sektor seperti padi. Adalah besar harapan kerajaan agar dengan sokongan yang diberikan ini mampu meringankan beban semua pengusaha yang terlibat dalam sektor pertanian ini.

Dalam memberi sokongan terhadap perniagaan berasaskan pertanian ini, Kementerian Pertanian Dan Industri Asas Tani telah menganjurkan beberapa pameran bagi mempromosi perniagaan ini di dalam negara. Antara promosi yang telah dijalankan adalah Pameran Pertanian dan Agro Pelancongan (MAHA) yang diadakan pada setiap dua tahun sekali. Tujuan pameran tersebut adalah untuk mempromosi serta memperkenal produk-produk pertanian yang telah diusahakan di Malaysia kepada masyarakat dalam dan luar negara.

Selain itu, MAHA juga berperanan dalam memaparkan kejayaan sektor pertanian dan industri asas tani dari dalam dan luar negara melalui aspek teknologi dan inovasi. MAHA juga merupakan platform atau ‘batu loncatan’ dalam memberi pendedahan kepada masyarakat khususnya belia berhubung perniagaan ini di samping memperkenalkan Malaysia sebagai hab pertanian dan industri asas tani untuk pelabur asing dan persendirian.


KESIMPULAN

Perniagaan adalah suatu  usaha dalam pengagihan dan penukaran barangan yang berbentuk barangan fizikal atau perkhimatan daripada pengeluar asal kepada pengguna yang terakhir pada tempat  dan harga yang berpatutan. Proses pengagihan dan penukaran ini membawa faedah dan keuntungan kepada semua pihak yang terlibat dalam usaha tersebut. Keberjayaan sesebuah perniagaan itu adalah bergantung kepada persetujuan pengeluar asal dan juga pengguna terakhir.

Pertanian berasaskan pertanian adalah salah satu usaha dan strategi kerajaan dalam mempertingkat sumber pendapatan negara. Dalam memastikan perniagaan ini dapat bertahan lama dan maju dengan pesat, transformasi pembudayaan keusahawanan dalam pertanian adalah perlu bagi melahirkan generasi usahawan yang mampu menerajui usaha merevolusikan pelbagai bidang dalam sektor pertanian.

Justeru itu, kerajaan perlulah berusaha mencari inisiatif baru dalam membangunkan sektor pertanian ini agar pembangunan bidang tersebut seiring dengan arus tranformasi yang dirancang. Selain itu, pembangunan bagi infrastruktur pertanian juga perlu diberi keutamaan supaya pengusaha dapat memaksimumkan hasil yang diperoleh supaya dapat menjadi usahawan tani yang berjaya dan profesional.

Merujuk kepada negara luar seperti Amerika Syarikat, Australia dan negara maju yang lain, golongan yang terlibat dalam sektor pertanian di pandang tinggi oleh masyarakat setempat. Oleh yang demikian, tidak mustahil sekiranya, persepsi buruk terhadap sektor pertanian di Malaysia boleh berubah sebagaimana negara-negara membangun tersebut. Apa yang penting adalah slogan ‘Pertanian Adalah Perniagaan’ itu perlulah terus menjadi nadi kepada golongan usahawan tani yang terlibat dalam memastikan pembangunan perniagaan terus berkembang pesat dalam negara.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan